Peguam Azhar Azizan Harun berhujah, pelantikan Sultan Muhammad V pada 24 Mei tahun lalu mengikut Perkara 22A(3) Bahagian 2, Perlembagaan Negeri Kelantan disebabkan ayahandanya gering dan hilang upaya, tetapi baginda tidak mengambil alih peranan Sultan secara eksklusif.
Katanya, seseorang pemangku hanya boleh menjalankan tugas seorang Sultan jika Sultan tidak dapat melaksanakan tugas itu disebabkan hilang upaya atau tidak berada dalam negeri bagi sesuatu tempoh.
Bagaimanapun, katanya, pemangku tidak diberikan kuasa penuh oleh Sultan ketika menjalankan tugasnya kerana beliau bukan seorang Sultan, yang berdaulat dan pemerintah negeri.
“Pemangku hanya berhak menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya untuk menjalankan tugas dalam perkara yang terbatas hanya meliputi kepada menghadiri hal ehwal kerajaan negeri.
“Saya berhujah Yang Teramat Mulia Sultan Kelantan tidak menyerahkan seluruh kuasa yang ada padanya kepada pemangku Sultan dan baginda masih memiliki kuasa itu,” katanya.
Beliau berhujah berhubung isu bantahan awal dibangkitkan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Sultan Muhammad V yang mempertikaikan bidang kuasa ayahandanya mengemukakan dua petisyen untuk mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan bagi isu sejauh mana kuasa seseorang pemangku ketika Sultan hilang upaya.
Kedua-dua petisyen itu difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun lalu dengan menamakan Sultan Muhammad V dan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden.
Tengku Muhammad Faris Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, Kota Baharu dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V selepas ayahandanya gering sejak Mei tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong akan memberikan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
No comments:
Post a Comment